Sumbangan tunai diperlukan untuk Bantuan Makanan dan Sumber Air Bersih..
GOMBAK, 10 Ogos — Global Peace Mission Malaysia (GPM) hari ini melancarkan kempen Tabung Rayuan Ramadan untuk membantu rakyat Somalia yang berhadapan dengan masalah kebuluran akibat musim kemarau, keganasan dan pergolakan politik dalaman.
Dengan menyasarkan sebanyak RM1 juta, Pengerusi GPM Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, jumlah tersebut bagaimanapun tidak mencukupi untuk menampung hampir empat juta rakyat Somalia yang menghadapi ancaman kebuluran akibat musim kemarau yang merosakkan sumber pertanian dan ternakan.
Selain GPM, kempen itu turut mendapat kerjasama Yayasan Zamzam dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
“Rayuan ini bertujuan untuk mengurangkan penderitaan rakyat Somalia akibat kemarau dan kekurangan bekalan makanan sejak sebulan yang lalu, setiap hari ribuan oran terpaksa menjadi pelaria dan menuju ke negara jiran.
“Ini adalah keperluan mendesak dan bantuan perlu disegerakan untuk membantu mereka di sana yang mana kalau kita lihat setiap hari pasti akan ada orang yang meninggal dunia terutamanya kanak-kanak kerana tidak mendapat makanan,” Mohamad Raimi pada sidang media di sini.
Jelas beliau, setakat ini pihaknya mahu menyediakan keperluan makanan ke Somalia yang mana ia menjadi keutamaan.
“Bagaimanapun rakyat Somalia juga memerlukan keperluan-keperluan lain termasuk bekalan air bersih, rawatan kesihatan dan tempat tinggal yang memadai.
“Kita tahu masalah utama yang berlaku di Somalia disebabkan masalah politik yang tidak stabil dan rakyat telah menderita, ramai yang menjadi pelarian… jadi kita harap sumbangan ini dapat membantu mereka dan kita harap rakyat Malaysia dapat memberikan bantuan dalam bentuk wang tunai agar kita boleh membeli keperluan makanan untuk dihantar ke sana,” katanya.
Ekoran musim kemarau masalah kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak Somalia pada usia lima tahun kini berada di atas paras 20 peratus dan semakin meningkat.
Somalia kini mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun, tertumpu di kawasan sempadan dengan Kenya dan Habsyah.
Turut dilanda kemarau ialah Uganda dan Djibouti.
Selain kemarau, berpuluh-puluh ribu penduduk Somalia terpaksa melarikan diri disebabkan krisis kemanusiaan di rantau tersebut.
Difahamkan kerajaan Somalia mengalu-alukan kemasukan bekalan makanan oleh agensi badan kemanusiaan selepas rangkaian kumpulan al-Qaeda, al-Shabab berundur dari kebanyakan pangkalannya malam tadi.
“Sumbangan yang kita mahu berikan ini tidak mencukupi yang mana saya difahamkan bilion ringgit diperlukan untuk membantu rakyat di sana dan kita walaupun tidak menetapkan sasaran tapi kita berharap dapat mengumpul sebanyak RM1 juta.
“Bantuan ini kita akan salurkan secara berperingkat mengikut jumlah yang kita peroleh, yang pertama mungkin dalam bulan Ramadan, kemudian Hari Raya dan seterusnya… kita akan lakukan secara bertahap,” kata Mohamad Raimi.
Jelas beliau, pihaknya akan turun padang dengan berkunjung ke masjid dan tempat awam untuk mengumpulkan bantuan itu.
Sumbangan boleh dibuat dalam bentuk tunai atau cek yang boleh dimasukkan ke dalam akaun Global Peace Mission di nombor akaun: 14-023-01-002922-4 (Bank Islam Malaysia Berhad) atau nombor akaun: 5642-2161-1602 (Maybank Berhad).
Sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi Sekretariat GPM di talian 03-61883230.
[Berita ini diambil daripada laman sesawang Malaysian Insider]
No comments:
Post a Comment